Sorting by

×

Melaka dicadang tuan rumah Hari Koperasi Negara 2025

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mencadangkan agar Melaka menjadi tuan rumah bagi penganjuran Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar berkata, cadangan itu susulan melihat kejayaan negeri pelancongan ini yang berjaya menganjurkan pelbagai acara besar di samping mampu menarik jumlah kehadiran pengunjung yang ramai.

Selain itu, tambah beliau, untuk tahun ini juga, beberapa program berskala besar akan dianjurkan di Melaka, antaranya Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 yang merupakan malam penghargaan kepada 100 koperasi terbaik di negara ini.

“Insya-Allah majlis ini akan diadakan pada September depan, di mana koperasi kluster besar akan berhimpun di negeri ini untuk kita umumkan lima koperasi premier dan lima koperasi terbaik negara.

“Selain itu pada penghujung tahun, kita juga akan mengadakan Konvensyen Koperasi Masjid, di mana Melaka juga dipilih sebagai lokasi penganjurannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian HKN Peringkat Negeri Melaka tahun 2024 anjuran SKM Negeri Melaka di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Terdahulu, HKN Peringkat Negeri Melaka tahun 2024 telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah SKM Negeri Melaka Mustafa Kamal Mohd Nor dan lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai HKN Peringkat Negeri Melaka 2024 yang berlangsung 9 hingga 11 Ogos, Rusli memaklumkan, pelbagai acara dan aktiviti telah disediakan untuk segenap lapisan masyarakat di negeri ini.

Jelasnya, antara pengisian yang diadakan adalah Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU); pameran oleh 50 reruai terdiri daripada 24 koperasi, 13 agensi dan 13 syarikat swasta; pocket talk daripada pelbagai agensi, Coop Walk serta pelbagai lagi tarikan menarik.

“Apa yang penting adalah pengisian ini sampai kepada setiap lapisan masyarakat, tidak kiralah belia, wanita, warga emas mahupun kanak-kanak boleh mengambil bahagian.

“Malah, pengunjung juga tertarik dengan Jualan Madani Koperasi yang menawarkan potongan harga sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post Koperasi di Melaka catat jumlah perolehan tertinggi sejak 2018
Next post Usahawan desa kongsi kisah kejayaan di Festival D’Bendang
Ubah saiz-+=