Sorting by

×

MELAKA DESTINASI SUKAN DAN WARISAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TANJUNG  BIDARA 13 April – Penganjuran sukan memanah tradisional mampu memperkenalkan lagi Melaka sebagai destinasi sukan dan warisan, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sukan memanah tradisional adalah lebih daripada sekadar hanya aktiviti fizikal.

Jelas Ketua Menteri ia adalah warisan budaya, lambang ketangkasan dan satu bentuk seni mempertahankan diri yang berakar daripada sejarah hebat Tamadun Melayu.

“Setiap tarikan busur dan lepasan anak panah, menghidupkan semula semangat pahlawan yang pernah mengharumkan nama bangsa.

“Semua ini adalah nilai yang ingin kita semaikan dalam Jiwa anak-anak muda agar sentiasa mencintai warisan, menghormati sejarah dan yakin pada masa hadapan,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Memanah Tradisional Melaka Siri 8/2025 Piala Ketua Menteri Melaka di Padang Bola Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah, di sini, petang tadi.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka Mohd Asri Ninggal; Presiden Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM) Zainurin Osman dan Presiden Persatuan Memanah Melaka (MELTRA) Mohd Irham Mohd Ihsan.

Ab  Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, penganjuran kejohanan itu juga menjadi pentas menyemai semangat juang dan mencungkil bakat anak muda dalam sukan sunnah yang penuh dengan nilai disiplin, sabar selain ketelitian.

“Saya difahamkan 200 atlet menyertai kejohanan ini,  ada juga wakil dari Negeri Sembilan dan Johor, sambutan diterima membuktikan sukan Memanah tradisional semakin berkembang serta mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

“Kepada pengunjung dari luar Melaka selamat datang ke negeri yang penuh dengan warisan, kaya budaya dan kini semakin terserlah sebagai medan sukan tradisional yang mengangkat maruah bangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4097
Kongsi :
Previous post LORI ALAMI MASALAH BREK, LANGGAR 15 KENDERAAN
Next post LEBIH 5,000 PENGUNJUNG SERIKAN RUMAH TERBUKA WARNA-WARNI AIDILFITRI DUN PENGKALAN BATU