Sorting by

×

Melaka destinasi pilihan pelancong

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 17 Okt. – Kebenaran rentas negeri dimanfaatkan sepenuhnya pelancong tempatan dan warga asing yang mula membanjiri kawasan tumpuan pelancong di negeri ini sejak Jumaat lalu.

Antara mereka yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke negeri ini ialah pelancong dari England, Kelly Mclaren, 23.

Dia yang ditemui bercuti bersama rakannya, Sarah Hewitt, 23, sedang bersiar-siar di sekitar Bangunan Stadhuys sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur malam ini.

Kelly Mclaren.Katanya, kunjungannya ke Melaka bermula Jumaat lalu adalah yang pertama sejak menetap di negara ini kira-kira empat tahun lalu.

“Sebenarnya, saya sudah lama berhasrat mengunjungi Melaka, namun disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir setahun lebih, maka saya lupakan sementara keinginan tersebut.

“Tetapi setelah dibenarkan rantas negeri Isnin lalu, saya dan Sarah ambil keputusan untuk ke Melaka dan semua cerita menarik tentang Melaka yang saya pernah dengar sebelum ini daripada rakan ternyata benar,” katanya yang bercadang ke Melaka semula pada masa depan.

Pasangan pengantin baharu dari Pelabuhan Klang, Selangor, Muhammad Alif Nair, 28, dan isterinya, Nurul Amaliah, 27, berkata, mereka merancang berbulan madu di Melaka sebaik sahaja kebenaran rentas negeri.

MUHAMMAD Alif dan isterinya, Nurul Amaliah.

Menurut Muhammad Alif, dia gemar bercuti di Melaka kerana selain kedudukannya dekat dengan Selangor dan Kuala Lumpur, negeri ini menyediakan pelbagai kemudahan keseronokkan kepada pengunjung.

“…bagi saya, semuanya ada di Melaka, mudah akses dan banyak destinasi yang menarik untuk kami kunjungi,” katanya.

Bagi Nurul Amaliah, bercuti ke Melaka amat berbaloi kerana selain dapat berseronok, kunjungan mereka juga tidak terganggu misalnya disebabkan kesesakan kenderaan yang pernah dialami sebelum ini.

Nurleeza (kanan) dan Faliess.

Pasangan sahabat dari Jalan Klang Lama, Nurleeza Muhammad, 27, dan Faliess Khairul, 27, tiba di Melaka pagi tadi dan cuma bercadang mengunjungi beberapa tempat pelancongan sebelum pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

“Kami tiba pagi tadi dan Alhamdulilah, lebuh raya masih lengang dan kami dapati beberapa tempat pelancongan di Banda Hilir juga tidak ramai orang seperti kebiasaannya,” kata Nurleeza.

Menurut Faliess, dia berharap orang ramai tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa biarpun banyak tempat perniagaan sudah dibenarkan beroperasi.

“Semasa dalam perjalanan tadi, kereta tidak banyak dan tidak ada kesesakan melampau, kami sampai sini jalan-jalan sekitar Bangunan Stadhuys, melawat muzium dan mungkin selepas ini menjamu selera masakan popular orang Melaka, asam pedas sebelum balik KL malam nanti,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) aliran trafik yang memasuki kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir agak padat namun bilangan pelancong tidak ramai, mungkin disebabkan faktor hujan pada tengah hari ini.

Tinjauan turut mendapati hanya beberapa gerai menjual cenderamata berhampiran Bangunan Stadhuys beroperasi manakala selebihnya masih menutup perniagaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1228
Kongsi :
Previous post Gerai jual belacan, cencaluk diserbu
Next post Ibu bapa teruja, pelajar bersemangat ke sekolah
Ubah saiz-+=