Melaka destinasi pelancongan tercantik di Malaysia
AYER KEROH 3 Sept – Melaka diiktiraf sebagai destinasi pelancongan tercantik daripada 10 lokasi untuk dilawati di Malaysia, menurut laporan portal pelancongan Culture Trip.
Penulisnya, Sam Bedford berkata Malaysia mempunyai kepelbagaian dalam landskap, budaya dan aktiviti.
Katanya, apabila berjalan di bandar-bandar bersejarah mahupun menjelajahi hutan berusia 130 juta tahun, pasti akan mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.
Menurutnya sejarah dan budaya yang unik serta turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco sejak 2008 melayakkan Melaka sebagai destinasi tercantik di Malaysia.
“Kota Kolonial ini menarik pelancong dengan seni bina tempatan, makanan dan Pasar Malam Jonker Street yang terkenal.
“Bukan sahaja zaman Portugis dan Belanda, tetapi zaman Kesultanan Melaka abad ke-15 dianggap sebagai zaman keemasan bagi budaya Melayu.
“Turut menjadi tarikan utama di Melaka adalah Gereja St Paul, Kota Famosa dan Stadthuys (kediaman rasmi gabenor Belanda),” katanya.
George Town, Pulau Pinang pula disenaraikan sebagai lokasi kedua terbaik disusuli Pulau Perhentian, Terengganu dan Danum Valley, Sabah.
Jelas Bedford, keunikan George Town terletak pada bangunan dan gereja-gereja Inggeris selain rumah kedai tradisional dengan gaya dan reka bentuk individu dijadikan sebagai muzium terbuka untuk dikunjungi.
“Gabungan sejarah ini seperti kuil, mural yang menghiasi dinding, medan selera, tempat beli-belah yang meriah dan kedai kopi terpanjang di Malaysia, tidak hairanlah George Town adalah tempat teratas untuk dikunjungi,” ujarnya.
Destinasi seterusnya terkenal dengan keindahan pasir putih dan air laut yang jernih sekali gus menjadikan selam skuba, snorkeling dan berkanu aktiviti utama pelancong apabila bercuti di Pulau Perhentian di Terengganu.
Lembah Danum di Sabah pula disenarai sebagai destinasi keempat tercantik di Malaysia dengan tarikan ribuan spesies flora dan fauna yang unik serta boleh melakukan aktiviti seperti trek hutan dengan pemandu berpengalaman.
“Di sini juga pelancong boleh melawat safari malam dan mengunjungi perkuburan Kadazan-Dusun kuno,” tulisnya.
Lokasi terbaik yang turut disenaraikan adalah bandar Alor Setar, Kota Kinabalu, Ipoh, Cameron Highlands, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.