Sorting by

×

Melaka cuba dapatkan lebih banyak vaksin – KM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Ogos – Kerajaan negeri sedaya upaya akan mendapatkan tambahan bekalan vaksin untuk negeri ini bagi mempercepatkan vaksinasi kepada seluruh rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pelbagai inisiatif telah diambil bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negeri ini.

“Hasil perbincangan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin pada Jun lalu, Melaka menerima tambahan 368,000 dos vaksin dan kita sedang cuba dapatkan lebih banyak.

“Sebelum Jun lalu, kadar penerima vaksin di Melaka mencatatkan 7,800 orang sehari dan menerusi tambahan dos yang diterima kini purata penerima harian telah dapat ditingkatkan kepada 14,660 orang sehari.

“Kita cuba tingkatkan bekalan yang ada dan kini 114 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah disediakan untuk kemudahan rakyat dengan kerjasama awam dan swasta” katanya.

SULAIMAN (dua dari kiri) bersama Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique (kiri) ketika melihat jururawat, Dayang Suriani Hamizi memberikan suntikan vaksin kepada penerima pada Program Outreach Vaksinasi COVID 19 DUN Kuala Linggi di Kompleks Japerun Kuala Linggi, Masjid Tanah baru-baru ini. Foto: MR. Azli

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen ‘Bicara Ketua Menteri’ bersama MelakaFM menerusi FB Live di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, hari ini.

Dalam pada itu Sulaiman berkata, proses pemberian vaksin masih berterusan dalam fasa ketiga PICK dan setakat 2 Ogos lalu seramai 601,195 golongan 18 tahun ke atas yang berdaftar telah menerima suntikan terbabit.

Katanya, jumlah itu merangkumi 88 peratus daripada 677,400 individu berdaftar dalam MySejahtera.

“Bagi penerima dos pertama seramai 329,664 individu direkodkan atau 48.67 peratus dan penerima dua dos suntikan vaksin pula merekodkan seramai 180,576 individu atau 26.66 peratus di negeri ini.

“Kita sedia maklum kini telah melepasi kedua fasa membabitkan barisan hadapan dan golongan 60 tahun ke atas dan bagi mempercepatkan lagi (vaksinasi), mana-mana PPV yang menerima lebihan bekalan kita akan panggil lagi mereka (penerima) yang berdaftar dalam MySejahtera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post Amalan demokrasi masih hidup- Saifuddin
Next post TOKYO 2020: Pandelela mara ke final 10m platform
Ubah saiz-+=