Sorting by

×

MELAKA CERIAKAN 1,000 RAKYAT SAMBUT TAHUN BAHARU CINA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Sejumlah RM200,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka bagi sumbangan perayaan Tahun Baharu Cina 2025.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, seperti tahun lalu, sumbangan itu akan diberikan kepada penerima yang layak bagi membantu mereka membuat persediaan untuk menyambut perayaan.

“Keseluruhan penerima bantuan bagi sumbangan Tahun Baharu Cina 2025 adalah seramai 1,000 orang dari seluruh Parlimen dengan membabitkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM200,000.

“Penerima-penerima ini adalah mereka yang layak dan melepasi saringan dibuat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina, Tahun 2025 Negeri Melaka, yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta barisan lain-lain kenamaan.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, bagi membantu golongan memerlukan, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menambah baik bantuan untuk diberikan kepada rakyat.

“Untuk setiap perayaan pada setiap tahun, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sumbangan untuk diberikan kepada mereka yang layak.

“Sekiranya tahun lalu sumbangan hanya wang tunai tetapi tahun ini kita lakukan penambahbaikan apabila turut memberikan kit makanan kepada penerima.

“Semoga dengan sumbangan ini ia memberikan semangat dan keceriaan untuk mereka meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga tersayang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

162
Kongsi :
Previous post GAHARU, NANAS MD2 ‘PERMATA’ KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=