MELAKA CATAT PENDAPATAN RM12.68 BILION HINGGA DISEMBER 2024
BANDA HILIR 1 Januari – Melaka mencatatkan perolehan pendapatan berjumlah RM12.68 bilion sehingga Disember 2024, iaitu sepanjang kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berlangsung kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, selain itu Negeri Melaka juga merekodkan kehadiran hampir 15 juta pengunjung dan pelancong sepanjang TMM2024.
“Saya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua yang terlibat termasuk pengamal media.
“Mereka ini yang telah menyumbang tenaga meningkatkan visibiliti negeri Melaka, sekali gus menjayakan TMM2024.
“Usaha ini selaras dengan pemilihan Negeri Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025) disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran WTD 2025 di Persiaran Jalan Merdeka di sini, malam tadi..
Sambutan penuh warna-warni itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Melaka akan terus ‘MENDUNIA’, yang mana akan menerima delegasi dari 159 negara serta ahli-ahli United Nations World Tourism Organization (UNWTO) sempena sambutan dan persidangan WTD2025 yangdijangka berlangsung pada September ini.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atas kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi tuan rumah sempena sambutan dan persidangan WTD 2025,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.