Sorting by

×

Melaka catat kematian akibat Tibi lebih tinggi berbanding COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 2 April – Kes penyakit Tibi di Melaka dilihat masih berada di tahap membimbangkan apabila merekodkan sebanyak 524 kes dan 49 kematian sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, data itu sekali gus menunjukkan penyakit Tibi tidak boleh dipandang ringan memandangkan jumlah kematiannya lebih tinggi berbanding COVID-19 di negeri ini dengan 21 kematian setakat ini.

Justeru, beliau meminta semua pihak menggembeleng tenaga dalam usaha memerangi Tibi, sekali gus menyahut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menamatkan epidemik berkenaan menjelang 2035.

“Penyakit ini sebenarnya boleh sembuh, namun tahap kesedaran itu perlu dipertingkatkan menerusi kempen-kempen yang dijalankan serta kesedaran masyarakat itu sendiri.

“Jika ada dalam kalangan masyarakat yang mempunyai tanda-tanda jangkitan seperti batuk berterusan lebih dua minggu, batuk berdarah, hilang selera makan, susut berat badan, demam dan berpeluh terutama pada waktu petang dan malam, silalah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

“Stigma dan kepercayaan terdahulu seperti penyakit santau dan buatan orang juga perlulah dibuang jauh, sebaliknya segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ismail Ali dan timbalannya, Dr Rusdi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan penyakit Tibi boleh menjadi ‘barah’ memandangkan ia boleh berjangkit menyerang sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.

Namun katanya, data tahun lalu menunjukkan golongan paling berisiko dijangkiti adalah perokok iaitu 37 peratus, pesakit kencing manis (26 peratus) dan 13 peratus lagi membabitkan warga emas.

“Paling penting pesakit Tibi perlu mengambil ubat setiap hari sekurang-kurangnya selama enam bulan sehinggalah disahkan sembuh.

“Alhamdulillah kadar kesembuhan tahun lalu menunjukkan tanda-tanda positif apabila 80 peratus atau sejumlah 501 pesakit telah berjaya menyempurnakan rawatan.

“Justeru, saya menyeru ahli masyarakat untuk terus bersama-sama memberikan sokongan moral dan semangat kepada pesakit Tibi agar mereka berjaya menamatkan rawatan sehingga sembuh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1523
Kongsi :
Previous post Muhyiddin santuni peniaga kecil di Medan Niaga Satok
Next post Pendaftaran PICK di Melaka masih rendah
Ubah saiz-+=