Sorting by

×

MELAKA CATAT 12.5 JUTA PELANCONG SETAKAT OKTOBER

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Melaka berjaya catat lebih 12.5 juta pelancong setakat Oktober 2024, sekali gus menghampiri sasaran 15 juta pelancong pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan ianya bakal dirancakkan lagi dengan baki 14 program akan berlangsung sehingga hujung bulan ini yang merupakan penutup tahun 2024.

“Kerajaan Negeri telah menganjurkan lebih 70 program yang berskala besar sempena dengan TMM2024 dan jumlah kehadiran pelancong setakat hujung Oktober lepas adalah 12.5 juta orang.

“Melaka ada tawarkan pelbagai program lagi dan terdapat 14 program menuju pada akhir tahun ini. Turut berlangsung Kejohanan Dam Aji Terbuka buat pertama kalinya diadakan di Malaysia yang menghimpunkan pemain serta peminat dam aji dari seluruh negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival KPDN 2024 Zon Selatan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli parlimen Hang Tuah Jaya; Adam Adli Abd Halim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad serta Ketua Setiausaha KPDN; Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Yang turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana; Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco, Timbalan Exco serta wakil-wakil jabatan.

Ab Rauf, yakin momentum kehadiran pelancong di negeri ini akan terus rancak pada tahun mendatang, ditambah pula Melaka akan menjadi tuan rumah Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025) selain sambutan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 (VM2026).

“Penganjuran WTD2025 dan WTC2025 akan dihadiri oleh 155 wakil negara dari seluruh dunia, mereka akan berkampung di Melaka pada September 2025.

“Kebanyakannya dihadiri oleh menteri-menteri pelancongan warisan dan budaya, maka Kerajaan Negeri akan meneruskan kempen Tahun Melawat Melaka sehingga 2025 dan disambung pada tahun 2026 dengan VM2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post KARNIVAL KPDN ZON SELATAN CATAT KUTIPAN JUALAN TERTINGGI RM2.7 JUTA
Next post MELAKA PERKENAL PERTANDINGAN KONDA KONDI ALAF BAHARU TAHUN DEPAN
Ubah saiz-+=