Melaka cari para penumpang Saudi Airlines SV3842 pada 15 Dis
AYER KEROH 26 Dis- semua penumpang menaiki pesawat Saudi Airlines penerbangan SV3842 yang tiba di KLIA pada 15 Dis lalu diminta untuk hubungi segera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.
Ia susulan Melaka merekodkan kes pertama varian yang dibimbangi (VOC) Omicron di negeri itu yang melibatkan wanita warga tempatan berusia 34 tahun yang baru mengerjakan umrah pada 4 hingga 15 Dis lalu.
Exco Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kesemua penumpang yang masih belum dihubungi oleh mana-mana KKM, diminta melaporkan segera atau jalani kuarantin kendiri di rumah bagi mengelakkan penularan jangkitan terutama melibatkan varian baru ini.
“Mereka yang menaiki pesawat Saudi Airlines penerbangan SV3842 dan tiba di KLIA pada 15 Dis lepas, pukul 9.50 malam dan masih belum dihubungi oleh mana-mana KKM, anda diminta melaporkannya dan segera menjalani kuarantin di rumah bagi mengelakkan penularan jangkitan terutama melibatkan varian baru ini.
“Malah pengembara yang pulang dari luar negara dinasihatkan agar menjalani kuarantin yang ditetapkan secara jujur sama ada tujuh, 10 atau 14 hari bagi tujuan keselamatan dan kesihatan individu, komuniti dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Jabatan Kesihatan Negeri, Wisma Persekutuan, MITC, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.