Sorting by

×

Melaka cari formula baharu untuk pembangunan sukan

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KEGAGALAN Melaka membawa pulang 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Edisi ke-20, baru-baru ini tidak sama sekali membuatkan Melaka berputus asa dalam aspek pembangunan sukan, kata Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam.

Sebaliknya, beliau berkata, Melaka akan bangkit dua kali lebih kuat pada edisi akan datang dengan melakukan perancangan terperinci bermula sekarang.

Katanya, antara perancangan yang akan dilakukan pihaknya bersama agensi berkaitan ialah untuk mencari formula baharu dalam menarik lebih banyak syarikat-syarikat baharu terlibat dalam penajaan membangunkan bidang sukan di negeri ini.

“Kita akui Melaka tidak mempunyai bajet besar seperti Johor yang memperuntukkan lebih kurang RM20 juta untuk Sukma kali ini dan kita hanya memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta untuk atlet negeri ini.

“Bidang sukan ini memerlukan bajet yang begitu besar untuk dibangunkan dan kita kena cari formula baharu untuk syorkan syarikat yang ada di Melaka untuk menyumbang kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Maka dengan sumbangan penajaan ini kita akan lebihkan dengan menambah imbuhan untuk diberikan kepada jurulatih dan atlet-atlet di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia Sukan (KBS) Zon Selatan 2022 di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBS Melaka, Khairul Adri Rosli, Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, dan bekas pakar beregu badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek.

Dalam pada itu, Shanmugam berkata, Kerajaan Negeri akan melakukan ‘post mortem’ bagi mengkaji segala masalah yang berlaku pada temasya Sukma kali ini.

Katanya, perubahan kehiduan akibat pandemik COVID-19 menjadi antara penyumbang berlaku kekangan masa dan peluang berlatih menyebabkan beberapa acara sukan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Dalam acara akuatik, kita sepatutnya bakal meraih tiga lagi emas kerana kita yakin atlet yang dihantar itu sebelum pernah menempa nama negeri ini namun akibat kekangan yang berlaku ada atlet terpaksa menarik diri di saat akhir pada temasya itu.

“Ada beberapa kekangan selepas hampir empat tahun negara tidak menganjurkan Sukma, ada atlet yang sebelum ini telah menamatkan alam persekolahan sedang melanjutkan pelajaran, ada yang sedang bekerja membuatkan kekangan untuk berlatih.

“Ada juga atlet kita yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi kekangan untuk mendapat pengecualian menyertai Sukma kali ini, jadi kita akan cuba lagi biarpun Melaka memiliki 17 pingat emas namun kerajaan negeri kekal berpuas hati dan meletakkan kita telah mencapai sasaran kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2204
Kongsi :
Previous post Gaji rendah punca penjawat awam gagal miliki kediaman sendiri
Next post Beli rumah, dapat kereta percuma
Ubah saiz-+=