Sorting by

×

Melaka cari bakal ‘jutawan’ rock melon

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Kerajaan Negeri mencari 100 rakyat Melaka yang berminat untuk mengikuti projek ‘Melon To Million’ dalam usaha melahirkan jutawan rock melon pada masa akan datang.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek berkenaan merupakan usahasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Kerajaan Negeri untuk melatih usahawan tani dari kosong hingga berjaya.

Jelas beliau, 100 peserta yang mengikuti projek berkenaan akan dilatih secara percuma di Universiti Putra Malaysia (UPM), selain diberikan elaun dan bakal mendapat tunjuk ajar daripada pengusaha rock melon berjaya di Selangor.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 10 peserta terbaik akan dipilih dan diberikan tanah serta peralatan, benih dan sebagainya untuk mengusahakan tanaman itu di Melaka.

“Menariknya, mereka yang terpilih akan bertindak sebagai petani kontrak (contract farmer) yang mana kesemua hasil tanaman itu akan dibeli oleh Kerajaan dan dipasarkan semula.

“Mereka (peserta) tidak perlu keluar sebarang kos, sebaliknya semua ditanggung, selain akan diberi tunjuk ajar dari awal hingga akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalannya Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib dan lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, pendaftaran bagi program berkenaan kini telah dibuka kepada semua yang berminat tidak kira peringkat umur.

“Namun, kita amat menggalakkan agar anak muda turut menyertai program ini supaya mereka boleh menjadi antara usahawan tani berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post Penternakan ikan kelah di Brisu tarikan agropelancongan baharu Melaka
Next post Tiga lelaki ditahan miliki senjata berbahaya, peralatan polis
Ubah saiz-+=