Sorting by

×

Melaka cadang wujudkan Taman Perindustrian Jerman

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 14 Jun – Kerajaan Negeri bakal mewujudkan sebuah taman teknologi baharu yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Jerman (German Industrial Park).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu dibuat susulan daripada Misi Galakan Pelaburan ke Jerman, 27 Mei hingga 5 Jun lalu.

Katanya, taman teknologi itu dicadang akan dibangunkan di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh di atas tapak seluas kira-kira 424.11 hektar.

“Taman teknologi tersebut bakal menempatkan semua syarikat dari Jerman yang beroperasi di Negeri Melaka pada masa hadapan di dalam satu kawasan yang khusus. Ia akan dilengkapi segala kemudahan infrastruktur diperlukan.

“Taman teknologi baharu ini bertujuan untuk menggamit lebih ramai pelabur Jerman ke Melaka yang mana ia juga dapat membantu mereka melatih anak-anak muda negeri ini.

“Dengan keluasan yang dicadangkan, kita jangka 20 hingga 30 syarikat Jerman akan ditempatkan di sana dan bilangan itu juga bergantung kepada permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Mingguan di Bilik Mesyuarat Tun Bija Sura, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Badaruddin Mohd Kassim; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Datuk Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Sa’ari Basiron.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun depan, Kerajaan Negeri juga bercadang menganjurkan Minggu Jerman (German Week).

Menurutnya, acara itu dicadang akan dianjurkan selama seminggu antara bulan April hingga Jun 2024.

“Selain mempromosikan TMM2024, ia juga bertujuan menghimpunkan semua komuniti Jerman yang berada di seluruh Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk datang ke Melaka dan mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang akan diadakan nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2283
Kongsi :
Previous post Melaka Agrofest 2023 sasar nilai jualan RM1 juta
Next post Misi galakan pelaburan di Jerman sasar raih RM4.5 bilion, buka 1,000 peluang pekerjaan
Ubah saiz-+=