Melaka cadang wujudkan sekolah angkat perkasa TVET
MACHAP JAYA 11 Ogos – Perkongsian ilmu membabitkan teknologi antara sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini akan diperluaskan menerusi Program Sekolah Angkat.
Exco Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, program tersebut diwujudkan bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka.
Jelas beliau, ia dijangka membabitkan 77 buah sekolah menengah seluruh negeri dan secara tidak langsung membuka laluan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke IPT terlibat.
“Hasil perbincangan antara wakil IPT dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, semua sebulat suara bersetuju program ini dilaksanakan.
“Fokus program ini adalah bidang TVET selain STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” katanya pada program Makan Durian dan Ramah Mesra Bersama Pengamal Media Melaka, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam memaklumkan setakat ini, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka sedang merangka dan menyelaraskan program berkenaan dengan memadankan IPT dan sekolah menengah yang terlibat.
Menurut beliau, program sekolah angkat itu dijangka bakal dilancarkan pada Oktober depan sempena penganjuran Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023).
“Setakat ini, Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia Melaka (MMU) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) telah menyatakan kesediaan untuk memberi komitmen dalam program ini,” katanya.
Tambah beliau, dengan pelaksanaan program sekolah angkat itu, ia juga bakal meningkatkan lagi minat dan penyertaan pelajar sekolah dalam program Malaysia Techlympics 2023 peringkat Zon Selatan yang akan diadakan di Melaka tahun ini.
“Setakat ini, kita menerima lebih 6,000 penyertaan namun kita berharap bilangan ini bertambah dan mencapai sasaran lebih 12,000 peserta,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.