
MELAKA CADANG PERKENAL SUKAN GOLF DI SEKOLAH-SEKOLAH
AYER KEROH 18 April – Sukan golf akan diperkenalkan di beberapa buah sekolah sekitar Melaka sebagai sukan kokurikulum elit bagi pembangunan sukan terbabit di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ia berikutan terdapat cadangan untuk mengembangkan lagi sukan tersebut di peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Pengerusi Ayer Keroh Country Club (AKCC) Berhad memaklumkan setakat ini sukan tersebut hanya diwujudkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh.
“Kita terima permintaan untuk wujudkan sukan elit ini di sekolah-sekolah sekitar Melaka, namun kita akan bincangkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
“Setakat ini kita bercadang untuk wujudkan sukan golf ini di sebuah lagi sekolah iaitu SK Padang Temu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM) di AKCC di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, Rahmad turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara AKCC dengan UUM International School Melaka (UUMISM).
Dalam pada itu, Rahmad berkata, seramai 30 peserta yang memenangi pingat pada kejohanan golf itu akan mewakili Melaka ke kejohanan peringkat kebangsaan.
“Terdapat tiga kategori pada kejohanan tersebut yang mana lima daripada setiap kategori lelaki dan perempuan akan mewakili negeri ke peringkat lebih tinggi pada kejohanan lebih besar nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.