Sorting by

×

Melaka cadang bina rumah transit bantu golongan memerlukan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BATU 29 Jun – Kerajaan Negeri bercadang membina sebuah rumah transit bagi membantu golongan memerlukan, termasuk gelandangan dan warga emas yang bersendirian.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, cadangan itu kini sudah di peringkat kertas kerja dan kajian sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, rumah transit itu dicadang akan dibangunkan di atas tanah terbiar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

“Pembinaan rumah transit ini untuk menjadikan satu pusat tumpuan kepada pelbagai golongan termasuk gelandangan dan orang-orang tua untuk menerima manfaat di situ.

“Kajian sedang dilaksanakan oleh golongan pemikir (think tank) dan masih di peringkat kertas kerja.

“Rumah transit itu akan dibina di atas tanah yang luas dan besar dengan penyediaan fasiliti lengkap serta kondusif sekali gus merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk membina rumah transit,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Gotong Royong Korban Kelompok di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, cadangan itu diangkat dengan mengambil contoh rumah transit yang terdapat di Pulau Pinang dan Johor.

“Seperti di Johor dan Pulau Pinang, hasrat saya mahu mewujudkan satu rumah transit yang besar dan selesa.

“Di mana mereka yang masuk ke rumah tersebut tidak akan menetap lama di situ, dan apabila keluar, mereka mampu berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri menerusi bantuan yang akan diberikan oleh pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7880
Kongsi :
Previous post 400 asnaf DUN Pengkalan Batu terima daging korban
Next post SRA JAIM Kampung Bachang Darat bakal dibina
Ubah saiz-+=