Melaka cadang bangunkan kelong memancing
PENGKALAN BATU 4 Mac. – Melaka berhasrat untuk membangunkan kelong memancing di sekitar perairannya dalam usaha merancakkan subsektor pelancongan memancing atau ‘angling tourism’ sedikit masa lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, perkara itu kini di peringkat perbincangan oleh pihaknya bersama Pejabat Perikanan Negeri Melaka dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan satu kertas kerja akan disiapkan bagi memohon peruntukan tersebut.
Sekiranya menjadi kenyataan, ujarnya, pihaknya berhasrat membangunkan sebuah kelong konkrit dilengkapi kemudahan asas seperti bilik, surau dan tempat makan yang boleh memuatkan seramai 50 pemancing satu-satu masa.
“Memandangkan Melaka sebuah negeri pelancongan dan dikelilingi lautan, saya rasa pembinaan kelong ini sesuatu yang baik untuk membantu lagi sektor pelancongan kita.
“Saya difahamkan ramai orang luar suka untuk memancing pada waktu cuti, jadi dengan adanya kelong ini mereka boleh datang memancing dan bermalam di kelong dan selepas itu boleh berbelanja di pelbagai tempat menarik di negeri ini.
“Kita yakin ia bukan sahaja dapat membantu pendapatan negeri dan pada masa ia juga membuka ruang kepada nelayan untuk menambah sumber rezeki mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bayaran sagu hati khas ‘one-off’ fasa kedua kepada nelayan Melaka bertempat di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon dan Pengarah LKIM Melaka Rosli Mustapha.
Mengulas lanjut, Norhizam berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membangunkan kelong memancing itu di sekitar perairan Melaka.
Katanya, sekiranya perancangan itu mendapat lampu hijau, pihaknya berhasrat membina kelong di setiap jajaran perairan negeri ini, iaitu bermula dari Kuala Linggi hingga ke Sungai Rambai.
“Walaupun Johor dan Selangor menjadi antara negeri yang popular dengan pelancongan memancing di kelong dan rumah rakit, namun kita percaya Melaka juga boleh sampai ke tahap itu, bahkan mungkin lebih baik lagi sekiranya kelong berstruktur konkrit ini menjadi kenyataan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.