MELAKA CADANG ABADIKAN NAMA LAKSAMANA CHENG HO

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TABOH NANING 30 Ogos – Melaka mencadangkan nama Laksamana Cheng Ho akan diabadikan pada nama salah sebuah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) sama sekolah rendah mahupun menengah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan menggunakan nama pelayar tersohor dari negara China itu adalah simbolik tentang semangat hubungan yang terjalin sejak 600 tahun lalu di antara Kerajaan Melayu di Melaka bersama negara China.

“Dalam pelajaran sejarah di China memang mereka menggunakan rujukan pelayaran Cheng Ho ke Melaka dan ini ada nilai sejarah yang begitu tinggi daripada sudut persejarahan juga Melaka dan China mempunyai hubungan yang begitu lama.

“Malah dengan mengimbau kembali sejarah, Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mencari sebuah SJKC untuk dinamakan sebagai Sekolah Laksamana Cheng Ho.

“Ia sebagai tanda titik permulaan perpaduan yang sudah dipupuk sejak 600 tahun lalu. Itu cadangan daripada Kerajaan Negeri, sekiranya ia dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM, Bijak Sejarah A STPM, Pelajar Huffaz Bagi Sesi Akademik 2023 Dan Pelancaran Bijak SPM Tahun 2024 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba.

Menurut Ab Rauf, selain mencadangkan penggunaan nama Cheng Ho, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya satu kajian tentang hubungan China dan Melaka dapat dibuat.

“Dalam silibus pendidikan sejarah negara China ada menceritakan tentang kehebatan Melaka, negeri ini telah dilawati Laksamana Cheng Ho sebanyak lima kali. Melaka merupakan antara negeri yang paling istimewa.

“Malah kalau kita pergi ke wilayah Yunan, kita akan dapat melihat Muzium Cheng Ho yang menyatakan kesan sejarah hubungan antara Melaka dengan China sudah lama terjalin untuk itu saya telah berbincang supaya kita mengkaji bagaimana hubungan China dan Melaka mula terjalin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post ‘BIJAK SPM’ PERKASA MUTU PENDIDIKAN MELAKA
Next post 75 PASUKAN PERUBATAN DITUGASKAN SEMPENA SAMBUTAN MERDEKA MELAKA
Ubah saiz-+=