Sorting by

×

MELAKA CADANG 12 TAPAK PROGRAM RESIDENSI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERI NEGERI 31 Disember – Melaka telah mencadangkan 12 tapak tanah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dibangunkan projek Program Residensi Rakyat (PRR) pada masa akan datang.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kesemua tapak itu melibatkan keluasan tanah berjumlah 33.39 hektar (82.51 ekar) dengan sasaran 2,394 unit kediaman.

Menurut beliau, antara lokasi yang dicadangkan ialah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dengan keluasan 10 ekar tanah dan melibatkan komponen 160 unit rumah secara teres; DUN Machap Jaya (5.33 ekar, 600 unit rumah pangsa); Tun Kudu (6.59 ekar, 300 unit rumah pangsa) dan Pondok Batang (8.23 ekar, 130 unit).

“Turut dicadangkankeluasan tanah 3.36 ekar di Nyalas membabitkan 50 unit rumah secara teres; Paya Rumput (6.21 ekar, 280 unit rumah pangsa); Lesong Batu (20 ekar, 320 unit rumah teres) dan Asahan (10.54 ekar, 160 unit).

“Selain itu, Masjid Baru (3.5 ekar, 50 unit); Sungai Udang (2.65 ekar, 120 unit); Durian Tunggal (5.03 ekar, 80 unit rumah teres) dan Sungai Rambai sebanyak 144 unit secara rumah pangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Siti Faizah Abd Azis (BN-Sungai Rambai) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, untuk program PRR, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk memilih lokasi bersesuaian, sebaliknya hanya boleh mencadangkan tapak-tapak yang bersesuaian.

Jelasnya, selepas cadangan dikemukakan, wakil KPKT akan turun ke tapak cadangan untuk membuat lawatan tapak bagi menilai kesesuaian untuk dibangunkan projek PRR.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Melaka bakal menerima satu lagi projek PRR iaitu PRR Bukit Katil yang sedang dalam perancangan dan dijangka dibangunkan bermula tahun depan.

Untuk rekod, PRR merupakan satu penjenamaan baharu daripada Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menetapkan kelulusan lantai kasar minimum pada 750 kaki persegi dengan harga jualan adalah RM60,000 seunit bermula tahun 2026/2027.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post AGENDA KESIHATAN RAKYAT MENJADI KEUTAMAAN
Next post ZON EKONOMI ANJUNG SELATAN FOKUS 4 SEKTOR
Ubah saiz-+=