Sorting by

×

MELAKA BUKA TIRAI 2025 PENUH GILANG-GEMILANG

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDA HILIR 1 Januari – Luar biasa, penuh gilang-gemilang. Itulah gambaran kemeriahan suasana sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 Negeri Melaka, malam ini.

Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung membanjiri Persiaran Jalan Merdeka, di sini, bagi bersama-sama meraikan detik bermulanya tahun baharu yang bakal melakar satu lagi sejarah baharu untuk bumi bersejarah ini.

Ia selepas Melaka dipilih mewakili Malaysia sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) pada September depan yang menyaksikan delegasi Menteri Pelancongan dari 155 buah negara bakal berkampung di negeri ini.

Sambutan penuh warna-warni itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Turut bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Sambutan yang bermula pada jam 9 malam itu dimulakan dengan pembukaan lagu tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Senandung Anak Melaka dan disusuli persembahan kebudayaan serta nyanyian artis popular tanah air seperti Asmidar dan Aisha Retno.

Majlis diteruskan dengan ucapan yang disampaikan Abdul Razak selaku Exco Pelancongan dan diikuti ucapan penutup tahun 2024 oleh Ketua Menteri.

Tetamu kehormat Tun Dr. Mohd Ali kemudiannya dijemput menyempurnakan lafaz serta gimik perasmian sambutan dan seterusnya melancarkan WTD 2025 yang bakal disambut penuh kemeriahan tahun ini.

Percikan bunga api kemudiannya menerangi malam di Banda Hilir menandakan masuknya tahun baharu 2025 dan pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan khas daripada legenda rock tanah air, Amy Search dan Man Kidal.

Acara kemuncak adalah cabutan bertuah Beli dan Menang sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) iaitu berupa enam buah kereta bagi pengunjung yang menginap dan membeli cenderahati TMM2024 sepanjang Jun hingga Disember 2024.

Tidak hanya itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan hadiah istimewa berupa sebuah kereta Perodua Axia, tiga buah motosikal dan televisyen 60 inci kepada pengunjung bertuah yang hadir pada malam Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran WTD 2025, malam ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post MELAKA CATAT PENDAPATAN RM12.68 BILION HINGGA DISEMBER 2024
Next post MELAKA RAIH PELBAGAI PENCAPAIAN 2024
Ubah saiz-+=