Melaka buka permohonan insentif khas bantu ibu tunggal
AYER KEROH 5 Ogos – Ibu tunggal di negeri ini diseru memohon insentif bantuan khas one-off berjumlah RM100 yang disediakan kerajaan negeri.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, permohonan Bantuan Khas Ibu Tunggal Kerajaan Negeri Melaka (Fasa 2) itu telah dibuka bermula 3 hingga 31 Ogos ini.
Katanya, insentif dengan peruntukan RM500,000 itu diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka oleh Ketua Menteri bertujuan meringankan beban golongan berkenaan.
“Justeru orang ramai boleh mengisi borang permohonan yang boleh didapati di Pejabat Pembangungan Wanita Negeri Melaka, Aras 15, Menara Persekutuan, Jln Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka.
“Borang yang telah lengkap boleh dihantar kembali ke Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka atau Kaunter KPWKM, Aras 1, Pusat Transformasi Bandar (UTC),” katanya.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata, syarat-syarat bagi pemohon bantuan itu mestilah Warganegara Malaysia yang menetap di Melaka dan wanita yang menjadi ketua isi rumah seperti dalam tafsiran ibu tunggal dengan pendapatan seisi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan iaitu sebanyak RM1,289 atau RM337 per kapita.
“Ia merangkumi ibu yang diceraikan secara hidup atau mati dan masih mempunyai tanggungan atau tidak dan ibu tunggal yang mempunyai anak angkat berserta dokumen yang sah.
“Selain itu wanita yang mempunyai suami tidak berupaya untuk bekerja disebabkan sakit terlantar atau orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu bekerja atau suami banduan juga layak untuk memohon,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.