Melaka buka dua PPV mega Isnin ini

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega iaitu Stadium Hang Jebat dan di Stadium Mini Jasin akan memulakan operasi Isnin ini.

Exco Kesihatan negeri Rahmad Mariman berkata, menerusi pembukaan PPV itu, kadar vaksinasi di negeri ini dijangka meningkat daripada 17,000 kepada 22,000 suntikan sehari.

Jelasnya, PPV mega Stadium Hang Jebat dijangka mampu menampung sehingga 5,000 penerima vaksin sehari manakala Stadium Mini Jasin pula mampu menampung seramai 3,000 suntikan sehari.

“Insha-Allah mulai Isnin iaitu 30 Ogos, kita akan membuka dua PPV sekali gus meningkat kepada 22,000 suntikan pada masa tersebut.

“Bagaimanapun di kedua-dua PPV mega ini, kita tak buat secara ‘walk-in’ sebaliknya perlu melalui MySejahtera kerana kita bimbang tidak dapat mengawal kesesakan orang ramai nanti.

“Bagaimanapun masyarakat jangan bimbang walaupun tak buat ‘walk-in’, kita akan pastikan semua akan dapat cuma harap dapat bersabar sikit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali melawat Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di perkarangan Melaka Mall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata susulan pembukaan dua PPV mega berkenaan, kerajaan negeri memutuskan untuk menutup tiga PPV awam di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

“Dengan pembukaan PPV mega ini juga kita akan menutup tiga PPV awam iaitu di Tanjung Minyak, Klebang dan Dewan Alamanda, Jasin manakala staf atau kakitangan yang ditugaskan di sana akan dipindahkan ke PPV mega.

“Sehingga semalam, suntikan dos pertama di negeri ini mencapai hampir 80 peratus dan kita cuba habiskan suntikan dos pertama ini pada bulan September dengan kapasiti 22,000 suntikan sehari.

“Jadi ada beberapa PPV yang sudah tidak praktikal untuk dibuka, petugas di situ boleh bantu di PPV mega bagi membantu kelancaran operasi,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad berkata pembukaan PPV mega di Stadium Hang Jebat tidak menganggu perjalanan jadual perlawanan Liga Super berikutan operasi program vaksinasi tidak melibatkan kawasan padang.

Jelasnya, pemasangan khemah ditempatkan di luar stadium manakala program vaksinasi ditempatkan di perkarangan dalam stadium.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1032
Kongsi :
Previous post 450 Jalur Gemilang diagihkan di DUN Lendu
Next post Jasa bakti negarawan Allahyarham Ahmad Sarji akan terus terpahat – PM
Ubah saiz-+=