MELAKA BINA 323 RUMAH MESRA RAKYAT TAHUN INI
BANDARAYA MELAKA 14 Januari – Sebanyak 323 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina di setiap daerah dalam Negeri Melaka pada tahun ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup masyarakat.
Katanya setakat ini, sebanyak 2,000 permohonan telah diterima menerusi sistem dalam talian untuk penilaian selanjutnya.
“Untuk permulaan, kita membuat penyerahan surat tawaran kepada 100 orang penerima RMR yang bertuah maknanya ada baki sebanyak 223 lagi.
“Sebuah rumah berharga RM75,000 tetapi hanya RM55,000 sahaja yang pemilik perlu bayar dengan kadar RM300 sebulan manakala RM20,000 lagi diberi subsidi oleh kerajaan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di atas usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Taklimat dan Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Simbolik Penyerahan Kunci kepada 100 pemilik RMR, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Ar. Mohd Jamil Idris, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais turut mengingatkan pemilik RMR di negeri ini agar tidak menyewakan kediaman masing-masing kepada pihak lain.
“Paling penting sekali dapat membayar dengan kadar sepatutnya setiap bulan supaya peruntukan ini dapat digunakan sebaiknya buat mereka yang tidak berkemampuan,” katanya.
Mengikut rekod, sejak pelaksanaan RMR pada tahun 2002, sebanyak 3,213 unit RMR berjaya dibina di seluruh Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.