MELAKA BILA LARUT MALAM JANA HASIL LEBIH RM600,000

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 September – Program Melaka Bila Larut Malam yang mula diperkenalkan 1 Jun lalu bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berjaya membawa impak besar kepada sektor pelancongan di negeri ini.

Mana tidaknya, dengan menjadi satu-satunya negeri yang menawarkan produk pelancongan serendah RM10 selepas jam 11 malam, program itu terbukti berjaya menggamit kehadiran pelancong ke Melaka.

Bercakap tentang kejayaan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan, selepas empat edisi dianjurkan Melaka Bila Larut Malam merekodkan kehadiran seramai 60,976 pengunjung dan pelancong.

Jelas Ketua Menteri, jumlah kedatangan pengunjung dan pelancong itu menjana pulangan dalam bentuk hasil berjumlah RM609,760.

“Saya cukup berbangga kerana inisiatif ini berjaya direalisasikan dengan begitu cemerlang. Alhamdulillah, dalam tak sedar juga, sehingga Ogos 2024 yang lepas, Negeri Melaka telah mencatatkan kemasukan seramai 10.16 juta pengunjung serta pelancong.

“Berikutan itu saya yakin, pencapaian ini juga adalah keberkesanan daripada Program Melaka Bila Larut Malam yang menjadi salah satu penyumbang rekod kehadiran pengunjung  ke Melaka yang kini terus berkembang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Set Kombo Menu RM10 Bagi Program Melaka Bila Larut Malam Dan Pelancaran Kilang Makan Sempena TMM2024 di Jalan Tun Ali, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, pembukaan satu lagi tempat makan menarik di Melaka seperti yang dibangunkan usahawan muda di Jalan Tun Ali itu diyakini bakal memberi nilai tambah dalam sektor pelancongan negeri ini.

Jelasnya, dengan menempatkan lebih 20 vendor atau pengusaha gerai makanan dan minuman yang pelbagai, selain lokasinya di tepi Sungai Melaka yang merupakan ikon pelancongan, ia dijangka dapat menadik lebih ramai pengunjung serta pelancong ke Melaka.

“Saya merakamkan sekalung tahniah kepada usaha anak muda ini yang berani mencebur diri dalam bidang perniagaan sekali gus menyumbang ke arah peningkatan pertumbuhan hasil ekonomi sektor pelancongan negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post NANTIKAN ANEKA MENU CUMA RM10 – KM
Next post SEMUA BOLEH SERTAI MENU RM10 – KM
Ubah saiz-+=