Sorting by

×

Melaka bertemu generasi ke-11 Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DUYONG 3 Januari – Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini, mengadakan pertemuan bersama generasi ke-11 Hang Tuah di Perkampungan Hang Tuah, di sini.

Pada pertemuan itu, Ab Rauf sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama salah seorang waris laksamana Melaka itu iaitu Tun Muhammad Amin Tun Ahmad, 48, dari Bintan, Indonesia.

Menurut Ab Rauf, pertemuan itu, antara lain bertujuan untuk memperkukuh kajian mengenai Hang Tuah yang telah dilakukan Kerajaan Negeri menerusi Institut Penyelidikan Hang Tuah yang berpangkalan di Universiti Islam Melaka.

Jelas Ketua Menteri, hasil pertemuan tersebut, waris ke-10 dan ke-11 itu memaklumkan mereka masih menyimpan khazanah-khazanah Hang Tuah yang telah dipindahkan secara turun-temurun.

“Hasil pertemuan dengan Tun Muhammad Amin ini, beliau telah menceritakan mengenai pensejarahan keluarganya yang mana kita dapati Hang Tuah bukan sahaja seorang laksamana yang hebat, tetapi juga seorang pentadbir yang baik, selain ahli diplomatik yang menghubungkan Melaka ke seluruh dunia.

“Jadi kita akan memperincikan lagi dapatan-dapatan ini yang mana hasilnya akan kita bawa pulang dan akan dijadikan pameran tentang sejarah Melaka dan legenda Hang Tuah pada Mei tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat ke Muzium Hang Tuah di Perkampungan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Zaidi Attan dan lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai pameran tersebut, Ab Rauf memaklumkan ia akan diadakan selama sebulan iaitu sepanjang Mei depan, bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Menurut Ketua Menteri, bakal Yang di-Pertuan Agong Ke-17 yang juga Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli untuk bersama-sama ke pameran tersebut.

“Jadi, kita akan bersiap sedia dalam segala aspek supaya pengukuhan sejarah Hang Tuah ini dapat dibuktikan dengan artifak-artifak yang akan kita bawa balik nanti,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2054
Kongsi :
Previous post Proses pendaftaran PADU tidak akan ditangguhkan
Next post Lelaki pukul isteri hingga cedera semata-mata tutup pintu dengan kuat ditahan
Ubah saiz-+=