MELAKA BERSELAWAT TERIMA SAMBUTAN LUAR JANGKAAN
BANDA HILIR 30 Disember – Penganjuran majlis ilmu Melaka Berselawat bersempena Ambang Tahun Baharu 2025 mendapat sambutan luar jangkaan selepas dihadiri lebih 50,000 umat Islam.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran Melaka Berselawat adalah antara program yang disusun bagi menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Program ini antara pengisian yang diatur bersempena TMM2024 dan kehadiran pengunjung pada malam ini adalah di luar jangkaan kami. Seperti biasa Melaka sentiasa mencipta sejarah dan malam ini satu lagi sejarah tercipta apabila menerima kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
“Seperti yang diumumkan Ketua Menteri, Tahun Melawat Melaka akan diteruskan sehingga 2026 dan ini bermakna Melaka Berselawat juga kita akan teruskan setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Melaka Berselawat bersempena Ambang Tahun Baharu 2025 di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, semalam.
Hadir memeriahkan majlis itu adalah Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman serta Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz.
Yang hadir sama, Tunku Besar Tampin, Kolonel (K) Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad.
Turut bersama, barisan Exco dan Timbalan Exco antaranya Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 juga akan melibatkan Majlis Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) Peringkat Negeri Melaka.
Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, bersempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 selain akan berlangsungnya Majlis Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) Peringkat Negeri Melaka turut akan diadakan cabutan bertuah membabitkan tujuh buah kereta.
“Menariknya pada malam itu nanti akan ada cabutan kereta, tujuh untuk cabutan bulanan TMM2024 dan satu pengunjung bertuah yang hadir ke sambutan ambang tahun baharu.
“Tujuh kereta ini antaranya Proton X70, Proton X50 dan juga Proton Persona, malah pada malam itu juga akan ada tiga buah motosikal dan enam unit televisyen 60 inci untuk dibawa balik oleh pengunjung bertuah,” katanya.
Terdahulu majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu diteruskan dengan alunan qasidah oleh pendakwah terkenal Indonesia, Habib Ali Zainal Abidin Assegaf bersama Kumpulan Qasidah Az-Zahir.
Malam Melaka Berselawat kemudian diteruskan dengan tausiah yang disampaikan oleh pendakwah, Ustaz Zul Ramli.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.