
MELAKA BERSEDIA HADAPI CABARAN EKONOMI SUSULAN TARIF BAHARU AS
SERI NEGERI 25 April – Melaka perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan cabaran ekonomi susulan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap negara di dunia termasuk Malaysia.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, bagaimanapun menzahirkan keyakinan bahawa Negeri Melaka mampu menghadapi cabaran ekonomi global susulan kenaikan tarif tersebut.
Tun Dr. Mohd Ali berkata, meskipun dasar tersebut dijangka memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa dan aliran eksport negara, beliau yakin Melaka bersedia untuk menghadapinya melalui pendekatan yang inklusif serta strategik.
“Saya berharap Negeri Melaka dapat menghadapi cabaran ini dengan penuh iltizam, perancangan strategik dan memupuk kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Persekutuan serta komuniti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.
Katanya lagi, kerjasama pelbagai sektor perlu diperkukuh bagi memastikan Melaka kekal kompetitif dan tidak terlalu bergantung kepada pasaran luar yang terdedah kepada ketidaktentuan dasar ekonomi antarabangsa.
Sebelum ini tarif baharu yang diumumkan oleh pentadbiran AS melibatkan kenaikan ketara duti import ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan, termasuk sektor teknologi, bahan mentah serta produk pengguna.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada dasar perlindungan ekonomi yang lebih ketat oleh Washington dalam usaha melindungi industri tempatan dan mengurangkan defisit perdagangan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.