
MELAKA BERPOTENSI JADI PENERAJU INDUSTRI AEROANGKASA
SERI NEGERI 25 April – Melaka berpotensi besar menjadi peneraju dalam sektor berteknologi tinggi dan industri aeroangkasa.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan memposisikan negeri ini sebagai hab helikopter.
“Syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan meletakkan Melaka sebagai hab pemasangan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter di Malaysia baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.
Untuk rekod, Melaka bakal menjadi hab MRO helikopter terbesar di Asia Tenggara menjelang tahun 2028 menerusi hasil pelaburan Syarikat Weststar Group sebanyak RM16.45 bilion bagi membangunkan kilang helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
Pelaburan tersebut telah diluluskan Kerajaan Persekutuan di atas kawasan pembinaan seluas 6.9 hektar dalam kawasan LTAM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.