Melaka berjaya turunkan kadar pengangguran

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PENGKALAN BATU 26 Jun – Inisiatif Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membawa lebih banyak pelaburan baharu nyata memberi impak apabila kadar pengangguran di negeri ini terus menurun.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, setakat suku pertama 2024, kadar pengangguran di negeri ini berada pada kadar 2.2 peratus, jauh lebih rendah berbanding paras 3.3 peratus di peringkat nasional.

Jelas beliau, ia sekali gus berjaya membuktikan bahawa peningkatan peluang pekerjaan yang disediakan di negeri ini berjaya membantu rakyat.

“Selain itu, Melaka juga bakal menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang teknologi melalui pembinaan German Technology Park (GTP). Projek ini dijadualkan untuk memulakan pembinaan pada awal tahun 2025 dengan nilai pelaburan pembangunan infrastruktur sekitar RM200 juta.

“GTP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang akan dibangunkan dengan kerjasama pihak industri dari Jerman dan dijangka menyediakan hampir 10,000 peluang pekerjaan, yang terdiri daripada pekerja mahir yang dihasilkan di bawah skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Projek melalui peranan penting Perbadanan Melaka (MCORP) ini bukan sahaja akan meningkatkan peluang pekerjaan tetapi juga memperkukuh ekonomi negeri melalui kolaborasi antara sektor awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) Edisi Wilayah Selatan Peringkat Negeri Melaka di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC), Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wilayah Selatan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Puviyan Thevar Thiagarajan; Pengarah Eksekutif MISDEC Haiqal Syukri Jantan dan lain-lain kenamaan.

Menurut Hee Sem, dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelabur, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Melaka Industrial Booster (MIB) di bawah Invest Melaka Berhad.

Jelasnya, inisiatif yang dipelopori Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu bertujuan mempercepatkan proses permohonan kelulusan pelan pemaju di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dari 180 hari kepada hanya 30 hari.

“Langkah-langkah kerajaan ini telah menunjukkan impak yang sangat menggalakkan, dengan ekonomi Melaka diunjurkan berkembang sekitar 4 hingga 5 peratus, sejajar dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

50
Kongsi :
Previous post Kemudahan rakaman video, bukti pengislaman suadara baharu
Next post Potensi Melaka sebagai syurga makanan – Ketua Menteri
Ubah saiz-+=