Melaka bentang inisiatif tangani perubahan iklim di Dubai

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 6 Disember – Kerajaan Negeri Melaka terpilih antara tujuh negara membentangkan inisiatif menangani perubahan iklim pada Expo Dubai City, COP28 Blue Zone yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, semalam.

Ia bersempena forum ICLEI Responding to Climate Emergency in the Global South, yang mana Kerajaan Negeri Melaka telah diwakili Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Pada sesi tersebut, Rais telah menyampaikan pembentangan bertajuk Pivotal Role of Melaka in Adressing The Climate Emergency.

Rais dalam satu sesi rakaman video selepas forum berkenaan memaklumkan, pembentangan itu berkisar mengenai inisiatif dan langkah-langkah yang telah dijalankan Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri untuk menangani impak perubahan iklim.

Jelas beliau, antara inisiatif yang telah dibentangkan ialah transformasi Sungai Melaka iaitu daripada sungai yang kotor hinggalah ia berubah menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Selain itu, saya juga turut membentangkan inisiatif Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir pada setiap Sabtu bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

“Inisiatif ini dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengurangkan pelepasan karbon di lokasi tumpuan pelancong yang mana ia bukan sahaja terpakai untuk rakyat Melaka, tetapi juga pelancong yang datang,” katanya.

Img 20231205 Wa0025
RAIS ketika menyampaikan pembentangan pada forum berkenaan.

Tambah Rais, meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, namun beliau percaya masih banyak perlu dilakukan sebagai langkah kesiapsiagaan negeri ini mengatasi impak perubahan iklim.

Namun, jelasnya, tindakan itu bukan hanya terletak pada bahu Kerajaan Negeri dan PBT, bahkan ia merupakan tanggungjawab secara bersama.

“Pada pembentangan itu juga, saya turut memaklumkan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memastikan inisiatif ‘low carbon footprint’ terus diperkasa bagi masyarakat bersedia berhadapan dengan impak perubahan iklim pada masa akan datang,” katanya.

Selain Kerajaan Negeri Melaka, forum berkenaan turut disertai pembentang dari Colombia, Ghana, Chile, Brazil dan Sierra Leone.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

948
Kongsi :
Previous post Kenangan manis Nisa Asilah terima Anugerah Graduan Terbaik bersama ibu bapa
Next post UNIMEL perkenal empat kursus TVET baharu tahun hadapan
Ubah saiz-+=