Melaka benarkan makan dalam kedai, bermula Jumaat ini
AYER KEROH 3 Jun – Semua premis makanan termasuk restoran, kedai makanan dan hotel di negeri ini dibenarkan makan didalam premis berkuatkuasa pada Jumaat ini.
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md. Ali berkata, kebenaran itu diputuskan kerajaan negeri pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 negeri, hari ini, yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan.
Beliau berkata, walaupun kebenaran makan di dalam (dine in) premis diberikan, namun hidangan secara bufet tidak dibenarkan, selain masa beroperasi terhad sehingga jam 10 malam sahaja.
“Kebenaran ini berkuatkuasa pada 5 Jun (Jumaat) sempena Istiadat Angkat Sumpah Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7.
“Walau bagaimanapun kebenaran yang diberikan masih tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Menurut beliau, susun atur dalam premis juga mesti mematuhi SOP ditetapkan dengan jarak dua meter antara meja.
“Ini bagi membolehkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan setiap satu meja tidak melebihi empat orang,” katanya.
Sulaiman berkata, kerajaan negeri berharap dengan kebenaran terbaru ini akan dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi negeri, terutama dalam sektor makanan dan minuman.