Sorting by

×

Melaka benarkan 50 jemaah solat fardu di masjid bermula esok

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BUKIT PALAH 14 Julai – Bilangan jemaah bagi solat fardu di masjid seluruh negeri Melaka akan ditingkatkan kepada 50 orang bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan itu terpakai bagi masjid kerajaan, kariah atau institusi di seluruh negeri.

Selain itu, katanya, bilangan jemaah bagi solat fardu di surau turut ditingkatkan kepada 20 jemaah yang mana kehadiran jemaah itu akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid dan surau.

“Pekeliling sebelum ini hanya membenarkan had 12 jemaah sahaja bagi solat fardu di masjid dan surau.

“Namun, kita mendapat permintaan daripada ramai ahli jawatankuasa masjid, maka kerajaan negeri telah membenarkan bilangan jemaah untuk solat fardu dinaikkan kepada 50 orang di masjid dan 20 orang di surau seluruh negeri.

“Bilangan jemaah itu juga akan terpakai bagi solat jenazah di masjid dan surau seluruh Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Che Sukri berkata, bagi solat Jumaat pula, ketetapan bilangan jemaah masih kekal iaitu 250 jemaah bagi masjid kerajaan, 100 jemaah bagi masjid kariah atau institusi dan 50 jemaah di surau.

“Walaupun bilangan jemaah solat Jumaat dikekalkan tetapi JAIM menggalakkan semua masjid dan surau memperdengarkan dahulu bacaan Yasin dan doa sebelum khutbah dibaca.

“Kita berharap semua jemaah yang hadir dapat membacakan bersama-sama dalam usaha melengkapkan kesungguhan kita mendapatkan perlindungan daripada Allah SWT, sekali gus dijauhkan daripada wabak COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

587
Kongsi :
Previous post Menteri Kabinet kekal sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai PM
Next post Melaka cadang penempatan pekerja asing jauh dari kawasan perumahan
Ubah saiz-+=