Melaka belum bersedia buka 11 sektor ekonomi – MKN
AYER KEROH 15 Ogos – Melaka masih belum dibenarkan membuka 11 sektor ekonomi mulai esok seperti diumumkan tadi berikutan kadar vaksinasi lengkap di negeri ini baru mencapai 39.1 peratus.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata kemudahan kepada 11 sektor ekonomi itu hanya dibenarkan kepada negeri-negeri yang lengkap kedua-dua dos kadar vaksinasi mencapai 50 peratus.
“Melaka untuk suntikan vaksin dos pertama kita dah lebih 50 peratus, tapi untuk suntikan vaksin yang lengkap dua dos baru mencapai 39.1 peratus.
“Kalau kita dah penuhi syarat tersebut baru lah kita boleh dibenarkan untuk mendapatkan kemudahan ekonomi diumumkan Perdana Menteri sebentar tadi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Jelasnya, bagaimanapun Melaka ke arah menuju kadar vaksinasi lengkap 50 peratus.
“Dalam keadaan sekarang kita masih belum boleh lagi, tetapi Melaka ke arah tersebut untuk dapatkan kemudahan tersebut walaupun masih berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kalau ikut kenyataan Exco baru-baru ini, kita jangkakan akhir bulan ini atau awal bulan September capai kadar 50 peratus vaksinasi untuk kedua-dua dos itu,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran membuka 11 sektor ekonomi mulai esok di bawah Kemudahan Sektor Ekonomi.
Ia bagaimanapun hanya terpakai kepada negeri yang mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.