Melaka Bebas Meniaga: Rahmat buat peniaga kecil

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

BUKIT BERUANG 23 Ogos – Sejak Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif ‘Melaka Bebas Berniaga’ sepanjang tahun ini, ramai peniaga kecil serta rakyat tejejas COVID-19 mengambil peluang menjana pendapatan.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Jalan Intan, Taman Kerjasama dan Bukit Beruang mendapati banyak khemah niaga dibuka di tepi jalan ‘umpama cendawan tumbuh selepas hujan’.

Peniaga buah-buahan, Zulkifli Khamis, 37, berkata, sebelum ini dia berniaga di tapak pasar malam sekitar Melaka dan baru tiga bulan berpindah ke lokasi itu.

ZULKIFLI menjual buah-buahan di gerainya di Bukit Beruang. Foto: MR. AZLI

Katanya, meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang teruk, namun dia bersyukur kerana hasil jualannya agak ‘laku keras’ dibeli oleh penduduk setempat.

“Saya baru tiga bulan meniaga di Taman Kerjasama ini bersama dengan isteri, sebelum ini di pasar malam. Bila pasar malam tak boleh buka, kita pilih buka di kawasan berdekatan taman perumahan, jadi memang sentiasa ada pelanggan, Alhamdulillah.

“Peniaga kecil di sini mengikut semua SOP ditetapkan demi memastikan boleh terus menjalankan perniagaan, apatah lagi kebanyakan kami tidak ada sumber pendapatan lain.

“Walaupun tidak banyak, sikit pun jadilah sekurang-kurangnya ada wang untuk berbelanja,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Beti Dermawi, (kiri) dibantu suaminya Bahari menjual apam balik di Bukit Beruang. Foto: MR. AZLI

Bekas pemandu lori, Bahari Muktar, 57, berkata, dia memilih untuk membantu isterinya, Beti Dermawi, 50, menjual apam balik sejak pandemik COVID-19 melanda negara sejaK tahun lalu.

Katanya, biarpun tidak dapat meneruskan pekerjaannya dia tetap bersyukur dapat berniaga dan hasil jualan apam balik itu dapat menampung kos sewa rumah dan menyara dua anaknya bersekolah.

“Walaupun operasi perniagaan tidak sempurna seperti sedia kala, namun kami masih lagi mampu mencari rezeki, syukur hasil meniaga ni dapat tampung semua, biasalah ada pasang surut, kita usahalah mana yang mampu, terima kasih kerajaan beri kami peluang,” katanya.

Sementara itu, peniaga ‘nasi bajet’, Nur Fazliana Azman,24, berkata, pada awalnya hanya ada kira-kira enam peniaga di lokasi itu, namun kini hampir 20 peniaga yang meniaga di situ.

Katanya, dia berniaga sejak enam tahun lalu dan ramai peniaga membuka gerai di situ ekoran pasar pagi di Taman terbabit diarah tutup kerana COVID-19.

“Alhamdulillah, bila ramai peniaga dari pasar meniaga di sini, ramai pelanggan datang, namun kami di sini semuanya amalkan SOP sepatutnya.

“Dari segi hasil jualan ada pasang surut, macam saya jual nasi bajet pelanggan kami kebiasaannya pelajar. Tapi disebabkan COVID-19, ramai juga pelanggan yang membeli nasi bajet kami ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1616
Kongsi :
Previous post Vaksin: Sultan Johor titah guru perlu jadi contoh, lindungi murid
Next post Tiada kerajaan perpaduan, tiada pembangkang dalam Kabinet – PM
Ubah saiz-+=