Melaka bayar lebih RM177,000 kepada rakyat amal kitar semula

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Program Trash To Cash oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka berjaya mengumpul sebanyak 922.5 tan sisa kitar semula setakat Jun tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu membabitkan nilai pembayaran RM177,508.73 kepada rakyat negeri ini yang mengamalkan budaya kitar semula.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, pihak SWCorp mencatatkan kutipan sebanyak 1,598 tan bersamaan jumlah RM354,798 yang dipulangkan kepada masyarakat menerusi 957 program yang diadakan.

“Kesemua kutipan yang direkodkan itu adalah jumlah sisa buangan yang berjaya dilencongkan dari tapak pelupusan dengan kerjasama SWCorp bersama pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sekolah, komuniti dan industri.

“Program Trash To Cash itu sinonim dengan program Anda Kitar Kami Bayar, Asal Barang Jadi Duit, Singgit Seposen dengan menggunakan konsep yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Kitar Semula Mega Trash To Cash 2024, di Dataran Graha Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SWCorp Malaysia, Hee Loy Sian; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rais berkata di Melaka terdapat sembilan lokasi pusat pandu lalu kitar semula yang telah dibuka untuk memudahkan rakyat di negeri ini.

Jelas beliau, dua lagi pusat pandu lalu kitar semula akan diwujudkan iaitu di Merlimau Point dan Padang Kemunting, Masjid Tanah tidak lama lagi.

“Sehingga Jun 2024, sebanyak 69 tan sisa kitar semula telah berjaya dikutip melalui program pandu lalu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post Kilang Yakult buka lawatan percuma untuk orang ramai
Next post Lupus al-Quran lama, dapat yang baharu
Ubah saiz-+=