Sorting by

×

MELAKA BANTU BANGUNKAN INDUSTRI LEBAH KELULUT, HERBA DAN REMPAH RATUS

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERI NEGERI 27 Disember – Industri lebah madu atau kelulut, cendawan serta industri herba dan rempah ratus menjadi antara sektor pertanian moden dan bernilai tinggi di Melaka yang menerima manfaat bantuan sepanjang tahun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bantuan itu berupa peralatan dan kaedah teknologi pertanian disediakan Jabatan Pertanian Negeri Melaka di bawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 Tahun 2024.

Menurut beliau, bagi pembangunan industri lebah madu dan kelulut, antara bantuan yang ditawarkan adalah bekalan set koloni termasuk ratu yang diimport, perolehan input pertanian, bahan dan peralatan serta kemudahan mesin dengan kadar maksimum RM15,000 bagi setiap projek.

“Pembangunan industri cendawan pula melibatkan pembinaan dan menaik taraf infrastruktur, perolehan inpuit dan perlatan pertanian, bahan-bahan untuk pembinaan rumah cendawan dengan kadar maksimum RM50,000 setiap projek.

“Manakala pembangunan industri herba dan rempah ratus pula menawarkan kadar bantuan RM10,000 setiap projek meliputi aspek membangun dan menaik taraf infrastruktur ladang, input perladangan, sistem pengairan dan peralatan penuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Klebang) yang diwakili Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal antara bantuan yang telah dilaksanakan bagi tahun 2024 adalah dalam pembangunan industri lebah madu dan kelulut, di mana ia membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM63,750 yang memanfaatkan 103 pengusaha di kawasan Merlimau dan Masjid Tanah.

Selain itu, katanya, peruntukan berjumlah RM188,867.50 pula disalurkan bagi membantu pembangunan industri makanan (sayuran dan tanaman ladang) yang memanfaatkan 36 petani di Jasin, Melaka Tengah, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Merlimau.

“Program pembangunan industri makanan (fertigasi) pula membabitkan peruntukan bernilai RM84,814 kepada lapan petani di Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.

“Manakala, pembangunan industri makanan (padi) pula mendapat manfaat menerusi perolehan Mesin Transplanter Padi dengan nilai RM63,000 yang memanfaatkan 18 pengusaha di Merlimau,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post SUKARELAWAN GENG 04 ATAU 30
Next post BAJET MELAKA 2025: JUALAN RAHMAH AKAN DIADAKAN DUA KALI SEBULAN DI SETIAP DUN