Melaka bangunkan 44,684 rumah mampu milik
BANDA HILIR 3 Jun – Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bakal membangunkan 44,684 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun, bermula 2020 hingga 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 32,616 unit yang akan dibangunkan agensi kerajaan negeri, manakala baki sebanyak 12,068 unit dibangunkan oleh pemaju swasta.
“Setakat ini, sebanyak 11,158 unit RMM telah siap dibina, 15,233 unit dalam peringkat pembinaan, dan 18,293 unit dalam peringkat perancangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sulaiman turut memaklumkan daripada 35,592 unit kediaman yang telah siap namun tidak terjual di seluruh negara, hanya 630 unit di Melaka yang masih belum dijual.
Jelasnya, sebahagian besar yang tidak terjual adalah rumah jenis kondominium dan apartment iaitu sebanyak 230 unit dan diikuti rumah teres 2-3 tingkat sebanyak 177 tidak terjual.
“Jika dilihat dari faktor harga pula mendapati sebanyak 360 unit unit kediaman yang tidak terjual melebihi harga RM300,000.00.
“Laporan ini boleh dijadikan asas kepada pihak-pihak yang terlibat di dalam industri pembangunan perumahan ini untuk merancang dengan lebih baik pasaran perumahan yang sepatutnya di Melaka ini.
“Faktor kenaikan harga barang binaan merupakan faktor dan cabaran besar kepada para pemaju di dalam menentukan harga rumah. Justeru, pemaju perlu lebih kreatif di dalam menghadapi situasi ini tanpa mengabaikan keselesaan dan kemampuan bakal pembeli rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.