Melaka bakal miliki hospital wanita dan kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 3 Julai – Negeri ini bakal memiliki sebuah hospital wanita dan kanak-kanak yang bakal dibina bersebelahan Hospital Melaka, sekali gus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan buat orang Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata permohonan bagi pembinaan kemudahan kesihatan itu juga telah diluluskan Kerajaan Persekutuan, namun terdapat beberapa perkara kecil perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya akan mengambil langkah awal bersama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, berbincang bagi memudah cara berhubung perkara-perkara dalam urusan pentadbiran ini.

“Ini bagi melancarkan pembinaan hospital ini yang akan dikeluarkan tender oleh Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi. Nilainya adalah RM699 juta, dengan adanya hospital ini kita dapat memberikan perhatian kepada golongan wanita dan kanak-kanak di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 6th National Paramedic Emergency Update Melaka 2024 (IPREMIUM) ‘Heartbeats and Heroes : Empowering The Next Generation of Paramedics’ di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhammad Akmal Saleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.

Turut hadir Ketua Kepakaran Perubatan Kecemasan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Fatahul Laham Mohamed; Ketua Perkhidmatan Kecemasan Negeri Melaka merangkap Penaung iPREMIUM 2024, Dr. Mohammad Fadhly Yahya.

Katanya, pembinaan kemudahan kesihatan baharu itu juga dapat mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Melaka ketika ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1903
Kongsi :
Previous post Paramedik Komuniti hidupkan klinik desa
Next post Anak muda perlu ikuti Telegram MyMelaka News
Ubah saiz-+=