Sorting by

×

Melaka bakal jadi destinasi terunggul pelancongan dunia

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 5 Mac – Melaka bakal menjadi antara destinasi pelancongan terunggul di dunia menerusi pengenalan kempen Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022 yang telah dilancarkan hari ini.

EXCO Pelancongan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kempen itu bertujuan memperkasa industri pelancongan negeri ini ke tahap global dan menjadikan Melaka sebagai antara tiga lokasi pelancongan popular di Malaysia.

Menurut beliau, ia juga selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) iaitu di bawah Flagship 6: Melaka Negeri Pelancongan dengan menggariskan sebanyak lima strategi yang didukung dengan 18 program atau projek dan 64 petunjuk prestasi utama (KPI) memperkasa pelancongan dan pendidikan di tahap global.

“Kempen ini selaras untuk menjadikan Melaka di antara tiga destinasi pelancongan popular di Malaysia dan terunggul di dunia dengan memfokuskan pelancongan sejarah, warisan dan budaya.

“Ia termasuklah menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) utama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam Majlis Pelancaran Logo Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022 serta Pelancaran Pencarian Pengunjung Ke-8 Juta Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

MUHAMMAD Jailani

Hadir sama, EXCO Kerja Raya Negeri Datuk Rahmad Mariman dan EXCO Belia dan Sukan Negeri V P Shanmugam.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri juga telah meneruskan kempen MELAKAN VISIT MELAKA PACKAGES 4.0 yang merupakan kesinambungan tiga kempen yang dianjurkan sebelum ini.

Kempen itu, jelasnya, bertujuan bagi menggalakkan rakyat Melaka melancong di dalam negeri sendiri dengan menawarkan diskaun sehingga 57 peratus kepada mereka yang bernombor kad pengenalan 04 atau beralamat di Melaka.

“Kempen kali ini akan melibatkan 33 lokasi pelancongan di Melaka berbanding kempen sebelum ini, yang hanya melibatkan 24 lokasi pelancongan dan akan berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Dis.

“Berita baik juga, kempen ini layak dinikmati oleh penjawat awam yang berkhidmat di Melaka. Hanya tunjukkan Kad Pengenalan atau Kad Pekerja di kaunter pelancongan sebelum anda membeli tiket pelancongan di 33 lokasi pelancongan yang ditawarkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1096
Kongsi :
Previous post Bantu peniaga kecil, TEKUN lanjut tempoh bayaran balik pinjaman – Ab Rauf
Next post [DIKEMASKINI] Dapat Yamaha NVX jika jadi pengunjung ke-8 juta Menara Taming Sari
Ubah saiz-+=