Sorting by

×

Melaka atur strategi erat persahabatan Malaysia-China

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Jun – Kerajaan Negeri mengatur strategi berterusan bagi melestarikan persahabatan Malaysia dan China yang mencapai usia 50 tahun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, strategi itu dilaksanakan menerusi pelbagai aspek seperti seni dan budaya, ekonomi serta lain-lain untuk manfaat bersama.

“Saya menyeru kepada semua untuk bersama menggalas tanggungjawab, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri mahupun dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui program-program pemerkasaan budaya.

“Program kebudayaan dapat memperkukuh nilai kebersamaan dan permuafakatan sedia ada di samping menyemarakkan lagi keunikan masyarakat majmuk di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pertunjukan Fesyen Tradisional Malaysia-China 2024 di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Kerk Chee Yee; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Penaung Persatuan Penerangan Budaya Tradisional Cina, Low Chee Leong dan Setiausaha Persatuan Penerangan Budaya Tradisional Cina, Koh Boon Wah.

Ab Rauf berkata penganjuran program kebudayaan itu sekali gus mengangkat martabat Melaka sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan seni dan budaya.

“Pada majlis ini kita juga dipersembahkan dengan persembahan istimewa khas oleh Pusat Kesenian dan Kebudayaan Nine Realms di Nanjing, China bagi memperagakan
tujuh jenis ceongsam tradisional.

“Generasi muda khususnya dalam kalangan kaum Cina perlu didedahkan dengan warisan pakaian seumpama ini untuk mengekalkan budaya warisan kaum agar kekal subur meredah zaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

161
Kongsi :
Previous post Melaka teliti bantuan untuk penternak kupang terjejas
Next post Melaka sokong usaha IPT martabat golongan OKU
Ubah saiz-+=