Sorting by

×

Melaka antara negeri terawal hasil air pulih guna

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Mei. – Melaka dipilih menjadi negeri terawal bagi membangunkan air pulih guna sebagai inisiatif meningkatkan industri perkhidmatan air yang lebih mampan.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, inisiatif peralihan sumber penggunaan air itu sekali gus mampu meningkatkan kadar bekalan air di negeri ini.

Jelasnya, pemprosesan air pulih guna mampu menghasilkan 15 juta liter air sehari dan akan dibekalkan ke 13 zon industri yang sesuai menggunakan air bagi proses pengilangan barangan bukan berasaskan makanan seperti perindustrian elektronik dan sebagainya.

AHMAD Masrizal (kiri) berbincang sesuatu mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAMB dan IWK, MWI Melaka dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

“13 zon ini hari ini menggunakan sumber air yang terawat membuatkan rakyat terpaksa bersaing dengan sumber yang digunakan kilang-kilang ini.

“Jadi alternatif air pulih guna yang dibangunkan dengan mengubah suai empat Loji Rawatan Air di Melaka akan menjadi Loji Rawatan Air Pulih Guna (LRAP) mampu mengatasi isu kerungsingan air di Melaka.

“Kita yakin dengan kepakaran digunakan Indah Water Konsortium (IWK) menjadikan negeri ini kedua selepas pelaksanaanya di Klang mampu memberi manfaat rakyat dengan kerjasama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAMB dan IWK, IWK Melaka Sdn Bhd (MWI) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di Hotel La Crista, di sini, semalam.

Program diadakan itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Datuk Roslan Ahmad serta tetamu lain.

Ujarnya, penggunaan sistem air pulih guna akan dioperasikan secara meluas di seluruh negara akan dijangka merekodkan sebanyak 100 juta liter air direkodkan sehari menjelang 2023.

“Ia juga turut menyasarkan sebanyak 1,500 juta liter sehari pada 2030 dengan peralihan sumber menyeluruh dilaksanakan seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, sistem itu digunakan dengan air kumbahan yang dirawat di Loji Rawatan IWK berpotensi untuk diguna semula selepas rawatan tambahan dibuat untuk tujuan bukan minuman.

“Efluen terawat yang dihasilkan daripada rawatan  air sisa akan melalui proses teknologi moden LRAP yang dibina khas di dalam loji rawatan air sisa selenggaraan IWK.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kepada operator air mendapatkan sumber air alternatif bagi tujuan air bukan minuman malah dapat mengurangkan tekanan kepada sumber air yang sekali gus meningkatkan usaha kitaran ekonomi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

846
Kongsi :
Previous post MUFC pulang hampa di Likas
Next post Hanya warganegara dibenarkan solat Sunat Aidilfitri di Melaka- KM Sulaiman
Ubah saiz-+=