Melaka antara 30 ‘hotspot’ kemalangan, kesesakan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Sebanyak 30 ‘hotspot’ membabitkan kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan dikenal pasti di semua lebuh raya utama seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lokasi panas itu membabitkan Lebuhraya Utara – Selatan (Plus) dan lebuh raya lain seperti Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

“Antara kawasan hotspot berkenaan adalah seperti Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh arah barat serta Kilometer (km) 285.3 Lebuhraya Plus.

“Sementara itu bagi Negeri Melaka pula hotspot yang dikenal pasti adalah di km 193 arah selatan dan km 177 arah utara Lebuhraya Plus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di R&R Jejantas Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim dan Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Sazali Harun.

Razarudin berkata, JSPT menempatkan pegawai dan anggota secara statik di  hotspot berkenaan sepanjang cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Katanya kehadiran JSPT secara ‘on site’ itu mampu membantu menyuraikan trafik terutama di kawasan ‘bottleneck’ selain menjalankan pemantauan di lokasi sesak.

“Keanggotaaan JSPT adalah seramai 6,559 pegawai dan anggota, sementara itu 5,875 bagi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Unit Kereta Peronda (MPV).

“Cuti pegawai dan anggota terbabit dibekukan bagi memastikan Op Selamat 19 ini berjalan lancar dan dengan jayanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2285
Kongsi :
Previous post Teroka hasil baharu untuk kesejahteraan rakyat
Next post Sikap tak sabar pemandu, penunggang punca kemalangan
Ubah saiz-+=