Sorting by

×

Melaka antara 3 negeri terbaik patuh PKPB

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 1 Jul – Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali merakamkan penghargaan kepada 930,700 rakyat Negeri Melaka yang telah memberi kerjasama penuh sepanjang waktu-waktu sukar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sejak pertengahan Mac hingga Jun lalu.

Katanya, hasil kepatuhan dan keprihatinan rakyat, Melaka diangkat menjadi antara tiga negeri yang mencatatkan kadar pematuhan PKPB tertinggi pada 98 peratus, sekali gus menjadikan Melaka antara tiga negeri terbaik di seluruh Malaysia.

“Dari hati yang mendalam, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga, kepada semua frontliners Covid-19 Melaka, termasuklah para doktor, jururawat, pasukan polis dan tentera, imigresen, bomba, RELA, Angkatan Pertahanan Awam, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi.

“Selain itu, tidak sempurna, jika tidak kita berikan penghargaan, kepada seluruh rakyat negeri Melaka, dalam membantu kerajaan negeri, terutama dalam menghadapi cabaran Covid-19 ini dengan mematuhi segala peraturan dan disiplin yang ditetapkan.

“Sesungguhnya, betapa pentingnya rakyat ini kepada saya dan kerajaan negeri seperti yang diolah daripada bidalan Melayu lama bahawa, ‘rakyat itu umpama akar, kerajaan pula bagaikan pohonnya. Jikalau tiada akar, bagaimana mungkin pohon dapat berdiri teguh’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Amanat Ketua Menteri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, Sulaiman turut melaungkan ikrar akan berusaha gigih, demi kesejahteraan rakyat.

“Selagi Covid-19 belum berakhir, teruslah bersabar dan berdoa, biasakan diri dengan norma baharu ini dan patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan hashtag, #MelakaMestiMenangCOVID19,” ujarnya lagi.

Views:

351
Kongsi :
Previous post Positif Covid-19 kekal satu angka, hanya dua kes baharu, 20 kes pulih – KP Kesihatan
Next post Bekalan air Melaka dijangka mencukupi hingga awal 2021
Ubah saiz-+=