
MELAKA ANJUR PRA-PELANCARAN WTD 2025 PADA JUN
TELOK MAS 13 April – Majlis Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) Peringkat Negeri Melaka akan diadakan pada penghujung Jun depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, majlis tersebut akan dihadiri Duta-Duta Besar Luar Negara yang berada di Malaysia.
Menurut beliau, pra-pelancaran itu diadakan bertujuan untuk memaklumkan objektif dan penerangan apa itu WTD2025.
“Pada majlis pra-pelancaran WTD2025 ini kita akan jemput semua duta-duta dalam negara kita ini supaya mereka tahu apa itu Hari Pelancongan Sedunia atau WTD 2025 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Mas, di sini, malam tadi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata majlis pra-pelancaran itu dijangka akan diadakan dalam kawasan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu di sekitar Banda Hilir.
“Pemilihan lokasi untuk pra-pelancaran memang kita akan buat di kawasan Banda Hilir dan sekitar kawasan kota warisan yang mana pelbagai pengisian sedang dirancang untuk majlis terbabit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.