Sorting by

×

Melaka anjur Pertandingan Berbalas Pantun Warisan libat pelajar sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 15 Jun – Kerajaan Negeri bakal menganjurkan Pertandingan Berbalas Pantun Warisan Piala Ketua Menteri Melaka bermula Julai ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pertandingan pantun warisan tersebut akan melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di Melaka termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Katanya, tarikh cadangan pertandingan akhir pantun warisan tersebut akan dilaksanakan pada sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2023.

“Bagi kategori sekolah rendah, ia melibatkan murid Tahap 2 iaitu murid tahun 4, 5 dan 6, manakala bagi kategori sekolah menengah akan melibatkan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.

“Menerusi pertandingan pantun warisan ini juga, kita mahukan anak-anak (pelajar dan murid) berkembang dan berkarya untuk menjaga seni warisan pantun ini.

“Pada tahun akan datang, mungkin ia boleh diperluaskan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Melaka,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Mingguan di Bilik Mesyuarat Tun Bija Sura, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Badaruddin Mohd Kassim; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Datuk Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Sa’ari Basiron.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf turut mencadangkan agar diadakan pertandingan menulis sumbangan tokoh-tokoh negara dan akan diabadikan pada dinding sekolah seluruh negeri.

“Sebanyak 43 sekolah di Melaka ini dan saya minta untuk dipaparkan tokoh-tokoh dan jasa mereka di dinding sekolah supaya pelajar dan murid dapat mengambil inspirasi, sekali gus menyemai rasa cinta pada Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1999
Kongsi :
Previous post Melaka anjur Minggu Jerman sempena TMM2024
Next post Melaka kekal laksana tempoh percubaan Zon Bebas Kenderaan, Julai ini
Ubah saiz-+=