Sorting by

×

MELAKA ANJUR PERSIDANGAN EKONOMI MARITIM, 4 DAN 5 NOVEMBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 30 Oktober – Kerajaan Negeri menerusi Institut Tun Perak bakal menganjurkan 1st Melaka International Maritime Economy Conference (MIMEC) yang akan berlangsung pada 4 dan 5 November ini bertempat di Swiss Garden Hotel.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Maritim Malaysia (MIMA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu bertujuan untuk memperkasakan ekonomi maritim negara umumnya dan Negeri Melaka khasnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah, persidangan itu juga akan membincangkan perkembangan dan cabaran yang dihadapi sektor maritim di negeri ini.

Jelasnya, selaku pusat perdagangan maritim yang strategik, Melaka menjadi lokasi yang ideal untuk membincangkan isu-isu berkaitan sektor tersebut.

“Terdapat tiga topik utama iaitu pertama Perkembangan Ekonomi Maritim Global dengan menilai potensi ekonomi maritim dalam pasaran global serta bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini.

“Kedua adalah Infrastruktur Pelabuhan dan Logistik iaitu membincangkan strategi untuk mempertingkatkan kecekapan logistik maritim dan pembangunan infrastruktur pelabuhan yang lebih mampan.

“Manakala yang terakhir adalah Kelestarian Lautan membabitkan cara menangani isu-isu alam sekitar serta mempromosikan amalan kelestarian dalam sektor maritim,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, MIMEC 2024 akan menghimpunkan pelbagai pihak dari sektor awam dan swasta, termasuk akademik, pemain industri, serta wakil kerajaan bagi tujuan memperkukuh kerjasama dan memajukan agenda ekonomi maritim negara.

Menurutnya, antara tokoh korporat yang bakal hadir termasuklah Tan Sri Datuk Seri Dr. Noormustafa Kamal Bin Yahya, Group Executive Chairman, Kuala Linggi International Port (KLIP); Martin Olofsson, Assistant Vice President – Marine, Resorts World Cruises; Tracy Huo dari Guangdong Province, China dan ramai lagi.

“Melalui persidangan ini, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik dan pertukaran idea yang berkesan bagi membina masa depan yang lebih cerah bagi industri maritim.

“Selain itu, ia juga merupakan antara usaha Kerajaan Negeri mengembalikan semula peranan penting dalam pembangunan ekonomi maritim Malaysia dan rantau ini memandangkan Empayar Melaka pernah menjadi pelabuhan dan laluan perdagangan maritim suatu ketika dahulu,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui https://www.itpmelaka.my/mimec2024/.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post PENIAGA RUGI RM800,000 DITIPU PELABURAN TENDER TIDAK WUJUD
Next post MELAKA HALAL HUB TARIK PELABURAN RM162 JUTA
Ubah saiz-+=