Melaka anjur pelbagai program semarak ‘Jiwa Merdeka’

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Kerajaan Negeri melantik Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka, sebagai Agensi Pelaksana bagi menganjurkan program bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sepanjang bulan ini.

Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis berkata, pelantikan jabatan itu sebagai ‘Lead Agency’ itu adalah untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan dan mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya yakin dan percaya aktiviti yang akan dilaksanakan dalam program-program ini dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

“Malah langkah proaktif juga sudah diambil bukan sahaja oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan JPNIN tetapi juga pelbagai agensi lain apabila menganjurkan Program Malaysiaku Merdeka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Malaysiaku Merdeka Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud dan Timbalan Ketua Pengarah JPNIN Zulkifli Hashim.

Menurut Siti Faizah, sebagai sebuah negeri yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan mengamalkan pelbagai kepercayaan serta budaya, Kerajaan Negeri amat menitik beratkan aspek perpaduan sebagai jaminan kepada kesejahteraan sosioekonomi.

“Kerajaan Negeri menyambut baik usaha yang diambil bagi melaksanakan penganjuran program sebegini kerana ia sebagai platform yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat.

“Bukan sahaja dapat berinteraksi dan berkomunikasi tetapi juga meningkatkan penyatuan, kesedaran serta tanggungjawab bersama untuk menjaga keamanan ke arah meningkatkan tahap perpaduan negara sekali gus meningkatkan jati diri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

289
Kongsi :
Previous post Konsert Lambang Sari rancakkan TMM2024
Next post Misi 29 jam, bina jambatan 21 meter selesai
Ubah saiz-+=