Melaka anjur Minggu Sains Negara Oktober depan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Melaka bakal menganjurkan Minggu Sains Negara dan Techlympics bersempena Persidangan Antarabangsa dan Ekspo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023), Oktober depan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, persidangan dan ekspo terbesar itu akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada 12 hingga 14 Oktober 2023.

Kata beliau, setakat 23 Ogos, penganjuran Minggu Sains Negara itu mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila menerima penyertaan mencecah 20,000 pelajar seluruh negara.

“Sebanyak 27 pertandingan akan diadakan sepanjang program berkenaan dan kita menyasarkan ada wakil dari Melaka memenangi salah satu acara.

“Buat masa ini, persiapan SMIX 2023 sedang dipergiatkan dan Melaka ICT Holdings (MICTH) sedang bergerak aktif untuk mencari peserta menyertai program tersebut.

“Memandangkan SMIX 2023 turut menjadi antara perkara diucapkan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, kita akan memastikan sedaya upaya penganjuran ini berlangsung dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

IMG_7817
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk kepada Datuk Fairul Nizam Roslan pada sesi pertama Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri ke-74 Tahun 2023. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada istiadat berkenaan, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk.

Menurut beliau, pengurniaan itu menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus berkhidmat dan bekerja demi rakyat Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2931
Kongsi :
Previous post SPM 2023 bermula 5 Disember hingga 7 Mac 2024 – KPM
Next post Ketua Pengarah RTM terima gelaran Datuk
Ubah saiz-+=