
MELAKA ANJUR BACAAN YASIN, TAHLIL UNTUK ALLAHYARHAM TUN ABDULLAH
KLEBANG 15 April – Kerajaan Negeri menganjurkan majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia, semalam.
Bacaan Yasin yang diketuai Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil itu diadakan di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, di sini.

Ia juga diadakan serentak dengan penganjuran majlis kesyukuran sempena ulang tahun ke-22 Bandaraya Melaka Bersejarah, hari ini.
Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.
Majlis bacaan tahlil turut disertai kira-kira 500 pelajar tahfiz, kakitangan MBMB dan penduduk setempat.

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Masjid Al-Aminin, Sekolah Rendah Agama JAIM Batang Tiga dan Pondok Darul Ulum Al Arabiyyah Al Islamiyyah serta 209 orang pelajarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham Tun Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah meninggal dunia pada usia 85 tahun ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Jenazah Perdana Menteri kelima itu selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada jam 2.30 petang tadi dengan upacara pengebumian dilaksanakan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.