Sorting by

×

MELAKA ANJUR 2 PROGRAM SUKAN LIBAT LEBIH 6,200 RAKYAT, BADAN BERUNIFORM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SUNGAI UDANG 11 Januari – Lebih 6,200 peserta akan mengambil bahagian dalam dua kejohanan sukan iaitu Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 yang diadakan awal tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati ia bakal membabitkan seramai 3,171 penyertaan meliputi warga Kem Terendak, Japerun Tanjung Bidara dan Sungai Udang, Ahli BAKAT dan BISTARI serta pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kem Terendak.

Jelas beliau, kejohanan bermula 18 hingga 31 Januari itu bakal mempertandingkan sebanyak enam acara sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, badminton dan golf yang berlangsung di pelbagai venue di dalam Kem Terendak.

Manakala, Kejohanan Sukan Badan Beruniform pula akan berlangsung pada 1 hingga 14 Februari depan melibatkan penyertaan 11 badan beruniform dengan seramai 3,035 peserta mengambil bahagian.

“Badan beruniform yang terlibat dalam kejohanan sukan badan beruniform ini adalah Angkatan Tentera Malaysia; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka; Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Selain itu, ia turut membabitkan Jabatan Imigresen; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Kesukarelawan Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025, di Lapang Sasar Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Panglima 10 Bridge Para, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Menurut Ab Rauf, bagi acara kemuncak dua kejohanan sukan itu akan berlangsung di Pantai Tanjung Bidara pada 15 dan 16 Februari depan, di mana ia juga akan membabitkan penyertaan masyarakat setempat.

“Rakyat juga berpeluang untuk turut serta sewaktu kemuncak kejohanan itu nanti apabila beberapa acara akan dipertandingkan antaranya dam aji, bola tampar pantai, tarik tali, konda kondi serta fun run.

“Kerajaan Negeri sentiasa cakna dengan penglibatan masyarakat dalam program-program sebegini kerana ia sebagai ‘jambatan’ mengeratkan hubungan pasukan keselamatan dengan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

112
Kongsi :
Previous post PERMATA TERSEMBUNYI KUALA LINGGI
Next post SUKAN LAMBANG PERPADUAN ORANG MELAKA
Ubah saiz-+=